Peserta bergambar kenangan selepas menyertai Malaysia Hero CPR Program anjuran FAI dan Uncle Kentang

Kuala Lumpur, 8 Julai 2025 – Badan Kebajikan & Kesejahteraan Staf, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia, telah menganjurkan Malaysia Hero CPR Program bertempat di FAI Student Lounge, Aras 4, Menara Razak.

Program separuh hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan staf fakulti untuk bertindak pantas dan berkesan dalam situasi kecemasan, sama ada di tempat kerja mahupun dalam komuniti. Seramai 50 orang staf akademik dan pentadbiran telah menyertai sesi latihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Uncle Kentang, diketuai oleh fasilitator bertauliah, Encik Chee Heng Kuan.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada latihan praktikal yang merangkumi empat komponen utama iaitu:
(i) Rawatan Kecederaan Ringan (Basic First Aid),
(ii) Bantuan Kecemasan dan Penggunaan Peranti AED,
(iii) CPR untuk Bayi dan Kanak-kanak (Pediatric CPR), serta
(iv) Kemahiran Bantuan Cemas di Tempat Kerja.

Menariknya, peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan kecil dan berpeluang mencuba sendiri setiap teknik yang diajar menggunakan peralatan simulasi yang disediakan. Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung kaedah dan prosedur yang betul dalam situasi sebenar.

Sesi demonstrasi CPR oleh fasilitator Uncle Kentang di FAI Student Lounge

Kemahiran CPR dan penggunaan AED penting bagi meningkatkan kadar kelangsungan mangsa serangan jantung mengejut

Latihan Pediatric CPR dijalankan secara praktikal menggunakan patung simulasi bayi bagi meningkatkan kecekapan tindakan kecemasan

Fasilitator menunjukkan prosedur betul menangani insiden tercekik menggunakan teknik tekanan abdomen

Dekan FAI, Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, dalam ucapan beliau menyatakan bahawa inisiatif ini selari dengan usaha fakulti untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan cekap bertindak dalam situasi kecemasan .

“Latihan ini bukan sahaja membina kesedaran, malah memberi keyakinan kepada staf untuk bertindak dalam situasi genting,” katanya.
Salah seorang peserta, Encik Muhd Zairulhisham bin Zainudin, turut berkongsi pandangannya:

“Program ini membuka mata saya tentang betapa pentingnya tindakan pantas dalam situasi kecemasan.”

Semua peserta telah menerima sijil penyertaan rasmi daripada Uncle Kentang CPR Academy, yang diiktiraf di peringkat nasional. Program ini merupakan langkah awal FAI dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kesiapsiagaan staf, dan dijangka diteruskan dimasa akan datang.


Pertubuhan Amal Uncle Kentang dikenali dengan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk latihan CPR percuma, bantuan kecemasan komuniti dan sokongan kepada golongan memerlukan, menjadikan kerjasama ini satu sinergi yang bermakna dalam memperkasa nilai kemanusiaan dan kesejahteraan awam.


Disediakan oleh:

Ts. Dr. Norziha binti Megat Mohd Zainuddin

AJK Badan Kebajikan & Kesejahteraan Staf

Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI)

Universiti Teknologi Malaysia

 

UTM Open Day